Wednesday, May 27, 2009

BILA BOLEH BELAJAR POLITIK?

Sikap guru perlu ditegur
Oleh SALEHUDIN MAT RASHAD

MARAN 24 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegur sikap segelintir guru yang menanamkan ideologi politik di kalangan pelajar di sekolah.
Tegas beliau, tindakan seumpama itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni di sekolah.
Menurutnya, sebagai guru mereka sepatutnya mendokong aspirasi negara sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.
''Pendidik perlu menjayakan semua aktiviti dan program di sekolah atas nama kepentingan pendidikan dan bukan atas kepentingan politik atau peribadi," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran di sini semalam.
Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Pelajaran Daerah, Rosdi Ismail.
Adnan berkata, guru bertanggungjawab membangunkan minda pelajar sejajar dengan ajaran agama, norma-norma masyarakat dan prinsip Rukun Negara.
''Guru tidak wajar membiarkan pelajar berkembang atas kebebasan sendiri atau mengikut perubahan zaman tanpa mengambil kira cabaran dan keperluan masa depan mereka," katanya
Dalam pada itu, beliau mahu guru menumpukan usaha memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi asas perpaduan kaum di negara ini.
''Ia selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.
Beliau juga mahu guru menumpukan perhatian kepada masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing pada masa ini.
''Kejayaan seseorang guru juga diukur berdasarkan kemampuan mereka menangani masalah disiplin pelajar," katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dirancang diadakan di Pahang tahun depan.
Beliau berharap sambutan itu dapat diadakan dengan lebih meriah kerana ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri.
-----------------------------------------
Yang ini aku tak faham... Aku rasa tak banyak cikgu yang mempunyai ideologi politik yang songsang. Ia masih dalam wacana politik tanah air... yang diterima dalam amalan demokkrasi... Justeru cikgu kena beri maklumat tentang politik tanah air dengan tepat. Tidak kiralah apa jenis parti politik itu, asalkan menggambarkan keadaan yang sebenar. Terutamanya para pelajar tigkatan enam dalam mata pelajaran Pengajian Am. Mereka mesti kena faham tentang peranan parti politik dalam menyuburkan demokrasi di Malaysia. Bukan itu sahaja mereka kena tahu juga tentang senario politik yang berlaku kerana ia dianggap sebagai kes untuk dikaji. Contohnya apa yang berlaku di Perak. Betullah ada pemerhati politik yang mengatakan bahawa, Perak sekarang sudah menjadi sebuah universiti politik. Jika selama ini kita hanya dapat baca dari buku tentang sistem pentadbiran negeri, Dewan Undangan serta institusi kesultanan dan perkaitannya dengan politik dalam negeri tersebut, kini kita boleh lihat secara live!
Guru kena jelaskan apa yang berlaku, bincangkan agar maklumat yang diberi itu betul... Jika kita biarkan para pelajar cari maklumat dan buat tafsiran sendiri-sendiri... itu yang sesat! Soal menanamkan ideologi politik kepada murid tu... aku fikir bukan sebegitu... Cuma mungkin juga cikgu-cikgu ni minta pelajar menilai peranan dan kesignifinanan sesuatu parti politik dalam konteks keperluan dantuntutan politik masa kini. Soal akhirnya para pelajar itu memilih parti politik yang mereka sukai... bukan persoalan yang perlu dibincang... Itu terpulang... Kita tidak boleh menyekat kebebasan seseorang rakyat Malaysia untuk memilih parti politik mana kerana mereka akan mencapai usia 21 tahun beberapa tahun lagi...

Tuesday, May 26, 2009

KENAPA RAIS YATIM MELATAH ?

Rais: Isu blog komunis ke kabinet
May 25, 09 6:56pm
Isu penyebaran sejarah komunis termasuk di blog dan laman web jaringan sosial akan dibawa kepada perbincangan jemaah menteri, kata menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.
"Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan di bawah bidang tugas saya, tetapi saya sedang berurusan dengan menteri berkenaan supaya dia juga bersiap siaga melihat kecenderungan seperti ini," kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan seperti ISA terhadap pihak yang cuba memberi gambaran positif terhadap komunis, lapor Bernama
"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," katanya lagi.
Sebuah akhbar semalam melaporkan laman Facebook memuatkan satu daftar Parti Komunis Malaya (PKM) - dengan 19 orang sebagai "penyokong" - dan blog "Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam" menceritakan perjuangan gerakan gerila Melayu dalam pertubuhan yang diharamkan itu.
Menurut agensi berita itu lagi, Rais juga menyeru rakyat agar tidak terburu-buru mengikuti dan meminati pembaharuan yang dibuat sesetengah pihak khususnya penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme.
"Komunis telah mendera negara ini dan kita telah dibelenggu melalui
pembunuhan dan pelbagai tindakan dahsyat, ribuan yang telah mati di tangan komunis sudah cukup bagi kita untuk insaf supaya kita tidak keluarkan sesuatu yang menyamarkan fikiran kita terhadap satu rejim yang begitu dahsyat ketika dulu," katanya.
Dr Rais berkata, komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu tidak boleh dilupai.
Sehubungan itu beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap bekas pemimpin PKM Chin Peng supaya menyatakan
pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik masing-masing.
"Komen saya mudah, Chin Peng dan para komandonya yang bunuh ramai orang dahulu sekali-kali tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat," Dr Rais dipetik berkata selepas menyampaikan syarahan 1Malaysia kepada para pegawai kanan kementerian itu di Angkasapuri hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai desakan Gerakan Pulau Pinang supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab
kemanusiaan.
----------------------------------
Sekali pandang, isu PKM nih tak perlu diperbesar-besarkan... Lagipun PKM dah tidak menjadi ancaman kepada negara... Cuma aku melihat Dr Rais Yatim, selaku Pak Menteri Penerangan dan juga 'orang lama' dalam UMNO melihat satu bentuk ancaman baru kepada UMNO dan BN! Bukan kepada negara...
Dalam keadaan rakyat Malaysia mencari arah kepada satu perspektif politik yang melampaui sempadan kaum, idea komunisme ada elemen tersebut. Ideologi yang diasaskan oleh Carl Marx ini boleh menyatukan semua kaum dalam kesatuan fikiran. Ini sangat bahaya kepada UMNO serta parti-parti perkauman Cina dan India di Malaysia. Ditambah lagi dengan kefahaman golongan pasca meredeka yang kian dangkal pengetahuan sejarah mereka, serta pegangan agama yang agak longgar.
Tetapi, aku melihat ada dua faction dalam PKM nih... satu yang pro Koumintang dan satu lagi golongan Melayu yang menentang penjajahan British di tanah Melayu. Inilah golongan yang dianggotai oleh Ibrahim CD, Rashid Maidin, Shamsiah Sutan Fakeh dll. Bagi aku golongan Melayu dalam PKM ini tidak terlibat secara langsung menentang kerajaan selepas kemerdekaan negara. Mereka itu adalah golongan AMCJA yang pada peringkat awalnya dibekalkan senjata oleh Inggeris bagi menentang Jepun.
Cuma maklumat sebenar tentang orang Melayu dalam PKM (rejimen ke-10) ini tidak diperolehi dalam buku-buku sejarah. Malah kalau kita lihat dalam blog Kampung Perdamaian Sukhirin, mereka masih taat menganut agama Islam...
Jika maklumat sebenar tentang perjuangan sebenar mereka diketahui umum, ia boleh menarik simpati golongan muda terutamanya untuk mendekati perjuangan mereka.
Jika itu berlaku... satu lagi bencana kepada UMNO dan BN. Justeru, selaku otai dalam UMNO, Dr.Rais Yatim dapat menghidu ancaman tersebut. Aku rasa tentu tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada simpatisan komunis di Malaysia.
Bagi pandangan aku lah... bukan setakat Chin Peng sahaja perlu dibenarkan balik ke Malaysia, malah semua mantan gerila PKM perlu diberi peluang balik semula. Tetapi, pada peringkat awal ia perlu ditempatkan di bawah kawalan yang agak rapi... Jika dalam keadaan sekarang, berpengkalan di selatan Thailand lagi lah bahaya...

HUH... DAH DASAR MAMAK!

Gelaran ’Menteri Besar Mahkamah’ patut diberi kepada Mohammad Nizar - Zambry

25/05/2009 4:22pm

IPOH 25 Mei — Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini berkata gelaran “Menteri Besar Mahkamah’ patut diberikan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.
Beliau berkata oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohammad Nizar, sewajarnyanya gelaran itu diberikan kepada bekas menteri besar Perak itu dan bukan dirinya.
“Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.
“Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu,” kata Zambry kepada pemberita di sini hari ini semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu Sabtu lepas bahawa beliau adalah “Menteri Besar Mahkamah" dan tidak mewakili seluruh rakyat Perak. - Bernama
---------------------------
Aku cadang nak tidoq dah... Tapi, bila aku baca Utusan Meloya Online nih... berdesing gak telinga aku... Aku nak comment Mamak Pele Pagkor nih... Kalau nak buat cerita, kenalah betul susur galurnya... Insiden huru-hara yang melanda negeri Perak nih kat mana startingnya? Bukankah angkar puak-puak UMNO yang mencolek ketiga-tiga ADUN tu! Tak sempat-sempat nak panggil ADUN untuk buat persidangan tergempar .... hang dah angkat sumpah dulu... Kata lah Sultan Perak yang suruh.... atau Najib yang dah buat plan awal-awal...? Pasal apa? Takut nanti jadi macam zaman pak dia... cantik punya kidnap.. last-last ADUN kat Kelantan tak jadi berpaling tadah! jadi untuk skrip di Perak versi 2009, tak sanggup berputih mata... mintaklah Sultan Perak lantik hang dulu..
Dah hang mencabul mandat rakyat.. dan tak reti malu... claimed sebagaiMB! DS Nizar nak buat lagu mana? SUK Negeri pulak memang sekapai ngan hang... terpaksa DS Nizar minta mahkamah putuskan! Hang ingat saja-saja ka? Pas tu bila mahkamah tinggi kata DS Nizar MB yang sah.. sepatutnya hang sedar diri lah... Pertama dapat kuasa secara tak sah... kedua mahkamah tinggi dah kata hang bukan MB yang sah.. Patut, rasa malulah kat rakyat negeri Perak.. Tapi, dengan muka tak malu itu gak hang pi bwak kat Mahkamah Rayuan!
Setakat sampai kat Mahkamah Tinggi tu... rakyat Perak boleh terima... Tapi bila kat mahkamah rayuan... itu dah auta! Jadi sapa yang percaya hang adalah MB yang sah? Yang pilih semua ADUN termasuk hang adalah rakyat Perak! Tapi hanglah yang bergayut kat keputusan mahkamah untuk kekal jadi MB... Tak usah cakap banyak lah.... bubar DUN senang cerita! Ada berani ka?

Monday, May 25, 2009

SEBESAR MANA.. SEDALAM MANA IDEA SATU MALAYSIA ITU?

Jangan tuntut bukan-bukan

KUALA LUMPUR 24 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegur beberapa pihak di dalam dan luar kerajaan kerana cuba mengambil kesempatan daripada gagasan ‘1Malaysia’ dengan membuat tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah.
Perdana Menteri berkata, Satu Malaysia diwujudkan untuk meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional, bukannya platform bagi mana-mana pihak melontar tuntutan yang bukan-bukan.
“Saya berharap gagasan Satu Malaysia ini merupakan satu konsep yang boleh menjurus kepada perpaduan lebih kental lagi kerana konsep ini bawa penghayatan perpaduan kepada tahap lebih tinggi lagi, seperti mana yang saya sebutkan tadi daripada konsep toleransi kepada konsep penerimaan.
Itu merupakan satu peningkatan ke arah penghayatan yang lebih mendalam mengenai soal perpaduan nasional dan bukanlah konsep Satu Malaysia ini disalah gunakan oleh sesiapa untuk membuat atau mendesak tuntutan yang keterlaluan atau tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di Puchong dekat sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.
Sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama Satu Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu saja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.
Sebelum ini, ada ahli Kabinet meminta kaedah pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dibuat secara meritokrasi kerana ia mencerminkan gagasan Satu Malaysia.
Pemimpin pertubuhan haram Hindraf pula meminta kerajaan memberi status bumiputera kepada penduduk kaum lain yang lahir selepas merdeka.
Permintaan itu dibuat atas dasar kononnya ia bagi menyatukan seluruh penduduk negara ini dan memberi makna sebenar Satu Malaysia.
Perdana Menteri menambah, adalah menjadi harapan beliau agar gagasan Satu Malaysia dihayati dengan sebaik mungkin agar objektifnya itu dapat difahami dan dicapai.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, gagasan Satu Malaysia disandarkan kepada tiga teras dalam memperkukuh perpaduan nasional iaitu konsep penerimaan, prinsip kenegaraan dan konsep keadilan sosial.
Jelas beliau, penerimaan bererti walaupun rakyat pelbagai kaum secara hakikatnya masih belum serasi sepenuhnya antara satu sama lain tetapi mereka mengamalkan toleransi dan menerima yang lain sebagai rakan yang setia.
“Kita perlu berganjak daripada konsep toleransi ke konsep penerimaan, apabila kita menerima masyarakat majmuk di negara ini sebagai satu kekuatan kita dan menerima kaum lain sebagai rakan setia kita,” katanya.
Katanya, dalam kenegaraan, antara yang penting ialah rakyat perlu mengetahui peranan pengasas negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan.
Tambah beliau, semangat Rukun Negara juga perlu dihayati bagi membolehkan satu nilai budaya untuk seluruh Malaysia dapat diwujudkan di bawah prinsip kenegaraan.
“Apabila kita tahu sejarah negara, maka kita juga tahu di mana kita berada dan apakah hala tuju negara pada masa depan,” katanya.
Mengenai keadilan sosial, jelasnya, ia menerangkan bahawa setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting.
Katanya, rakyat perlu bersama menjayakan gagasan Satu Malaysia demi perpaduan negara berdasarkan konsep penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial itu.
Pada majlis berkenaan, Najib menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 kepada beberapa pihak.
Kelab Sukan Sports Unite menerima anugerah bagi Kategori Sukan, sementara penyanyi utama kumpulan Alleycats David Arumugam atau nama sebenarnya Datuk Thiagarajan Arumugam menerima anugerah bagi Kategori Seni.
Kategori Media pula dimenangi oleh akhbar Sinar Harian dan Kategori Korporat dimenangi oleh Zubedy Sdn. Bhd.

---------------------
Sewaktu aku mencatat dalam ruang ini, aku sedang melihat Astro Awani tentang Perspektif Golongan muda Tentang Satu Malaysia... Aku tertarik dengan apa yang nyatakan oleh Sdr Noor Amin Ahmad
Beliau menyatakan gagasan satu Malaysia jika mahu dilihat secara positif, harus digagaskan di luar perspektif politik. Jika tidak, berlakulah apa yang sedang berlaku kini...
Aku bersetuju gak dengan pandangan tersebut... ia dilihat satu pandangan yang sangat kritis berbanding dengan ahli panel yang lain iaitu, Dato Fuad Hassan dan Senator T.Murugayah... Tapi aku terfikir... kat Malaysia ni... mana yang tak berkaitan dengan politik? Bidang pendidikan pun ada politiking!
Seperti dalam komen aku yang terdahulu... politik yang brsifat perkauman ni patut dibubarkan... Inilah punca segala masalah!
Oleh sebab rakyat Malaysia dah jelak dengan slogan-slogan yang ada... mereka mahu perubahan yang lebih komprehensif... Jadi apabila slogan satu Malaysia ni muncul... mereka ingat yang itu adalah jawapan kepada persoalan yang ada kat benak depa tu... Sapa lah think tank PM kita yang cetuskan idea nih..

SATU MALAYSIA HANYA SATU SLOGAN...

SEMANGAT SATU MALAYSIA


Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan penari-penari cilik melaungkan slogan 1Malaysia selepas majlis perasmian sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat kebangsaan di IOI Mall Puchong, semalam.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan semalam yang bertemakan konsep 1Malaysia.
Sambutan Minggu Perpaduan itu bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang pentingnya perpaduan dan integrasi nasional dipelihara dan dikekalkan supaya negara kekal harmoni, sejahtera dan stabil.
Ia juga bertujuan membangkitkan kesedaran rakyat supaya menjadikan elemen perpaduan sebagai teras dalam setiap tindakan dan interaksi di samping rasa hormat-menghormati, bekerjasama, muafakat serta toleransi.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
-------------------------------------------------
Aku harap rakyat Malaysia tidak keliru dengan konsep Satu Malaysia yang digagaskan ideanya oleh PM kita ni... Ia sekadar slogan atau tag line yang mula diperkenalkan oleh Tun Mahathir dengan slogan Bersih, Cekap, Amanah kemudian disusuli Pak Lah dengan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Ia tidak lebih daripada itu... Jauh sekali nak memperbaiki asas kepada pembentukan jiwa dan roh satu Malaysia. Justeru, nak mintak status bumiputera kepada semua rakyat malaysia yang lahir selepas 1957, macam yang dituntut oleh Hindraf persis bermimpi di siang hari.
Pada hemat aku lah... tuntutan Hindraf agak keterlaluan... Sebab ia bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Memanglah perlembagaan itu buatan manusia, jadi kita boleh ubah bila tidak sesuai. Tetapi, kita tak perlu sampai mengubah perlembagaan bagi membina hubungan kaum yang lebih baik di Malaysia. Mungkin ada beberapa cara yang boleh diambil bagi merapatkan jurang dalam konteks hubungan kaum di negara kita ini.
Pertama, perkemaskan Sekoah Wawasan (SW) yang kian malap. Idea SW sangat baik walaupun banyak halangannya. Kenapa cepat menyerah kalah... KPM serta beberapa kementerian lain mesti mencari jalan keluar kepada kekusutan pelaksanaan SW ini.
Kedua, bubarkan politik kepartian berasaskan kaum! Sebaliknya, wujudkan parti-parti politik berasaskan suatu idea atau fahaman yang merentas sempadan perkauman. Dalam parti-parti politik komponen BN, Gerakan adalah antara contoh yang telah sedia ada... Dalam PR hampir kesemuanya bukan berasaskan politik perkauman. Hatta Islam itu adalah penyatu kepada beberapa kaum. Cuma, perlu dicari jalan penyelesaian bagaimana untuk membolehkan orang bukan Islam boleh menyertai PAS (bukan sekadar ahli kelab penyokong)
Malah, politik perkauman ini dilihat ada kalanya menyuburkan budaya gangsterisme atau ala gagsterisme. Apabila ada pergaduhan yang melibatkan kaum... campur tangan parti-parti politik kaum tertentu.. ada kalanya menyebabkan mereka 'besar kepala'.
Justeru slogan Satu Malaysia tidak lebih satu slogan... Kalau betul-betul serius, jadikannya satu dasar bagi semua kementerian... Satu Malaysia dalam dasar pendidikan nasional, dalam dasar kebudayaan nasional dan sebagainya... Supaya usaha yang lebih komprehensif dapat dijayakan...
Pada pandangan aku... idea Satu Malaysia ni sangat sensitif jika tidak ada persiapan yang rapi bagi merealisasikannya. Apatah lagi hanya sekadar retorik politik semata-mata. Sebabnya ia menyentuh satu harapan rakyat Malaysia yang sangat besar! Khasnya, rakyat bukan Melayu dan bumiputera. Lebih tepatnya (bagi aku lah), ia sekadar untuk caunter slogan 'RAKYAT' yang dicanangkan oleh pihak Pakatan Rakyat...

Sunday, May 24, 2009

SIAPA YANG DEGIL?

Sikap pembangkang dibidas
KUALA LUMPUR 23 Mei -
Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) kesal dengan 'kedegilan' pakatan pembangkang untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Menurut mereka, amaran pihak pembangkang bahawa kekacauan akan berlaku jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak dibubarkan membuktikan pakatan berpegang kepada prinsip matlamat menghalalkan cara semata-mata bagi mencapai cita-cita politik.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pemimpin pembangkang seharusnya akur dengan keputusan mahkamah yang mengesahkan bahawa tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Zambry tidak bertentangan dengan undang-undang.
Katanya, keputusan itu bertepatan dengan pendirian UMNO bahawa baginda selaku bekas Ketua Hakim Negara tidak mungkin tersilap dalam membuat keputusan yang begitu penting.
''Segalanya sudah jelas dan terang tentang isu di Perak dan saya berharap Zambry dapat melaksanakan tugas membela rakyat dan membangunkan negeri. '
'Keputusan sebelum ini dibuat oleh seorang hakim (Mahkamah Tinggi), semalam pula ia diputuskan oleh tiga hakim di mahkamah yang lebih tinggi, semua pihak perlu menerimanya," kata beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hakim Datuk Md. Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop semalam sebulat suara memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah adalah salah dan mengetepikan keputusan itu.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Pemikir Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menganggap pembangkang selalu meletakkan undang-undang di tangan mereka. Jika keputusan ini berpihak kepada mereka, ini dianggap adil. Jika tidak, mereka kata hakim tak betul," ujarnya.
Menurut beliau, sikap pembangkang yang tidak mahu mematuhi undang-undang disebabkan mereka merasakan disokong oleh majoriti rakyat di Perak.
Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam pula meminta pakatan pembangkang supaya menerima hakikat bahawa BN berhak memerintah Perak kerana ia mempunyai majoriti dalam DUN.
''Sebelum ini, apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pakatan pembangkang akan memerintah kerana terdapat wakil rakyat BN yang akan melompat, mereka bersedia menerimanya sebagai amalan demokrasi. '
'Mengapa pula apabila tiga orang daripada pakatan pembangkang di Perak menyokong BN, mereka tidak dapat menerimanya sebagai amalan demokrasi," soalnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula mendesak pihak pembangkang supaya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan sama seperti langkah BN sebelum ini yang menghormati keputusan Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, negara ini akan menjadi kacau bilau sekiranya pembangkang tidak berpegang kepada prinsip asas yang menetapkan semua pihak harus menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah.
''Saya kesal kerana pembangkang cuba mengheret isu ini supaya terus berlarutan kerana ia hanya akan menjejaskan tumpuan kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat di Perak," katanya.
-------------------------------------
Kalau MB haram Perak menerima keputusan Mahkamah Tinggi serta memulangkan kuasa kepada rakyat Perak, perkara ini dah lama selesai. Oleh sebab beliau degil dan membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan lah maka isu ini masih belum selesai... Apabila MB haram itu memanjangkan kes ini ke Mahkamah Rayuan dan akhirnya keputusan para hakim tanpa hitam putih itu menyebelahi MB haram, maka DS Nizar juga mengambil pendirian yang sama. Iaitu beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes tersebut di Mahkamah Persekutuan. Itu sahaja saluran yang ada! Kalau DS Nizar dianggap degil... MB haram lagi lah degil tak bertempat.
Kita akan tunggu apa tidakan MB haram @ MB mahkamah ini mengotakan janjinya atau tidak untuk memohon perkenan DYMM Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak... Jika tidak, lagi lah degil @ tak tahu malu.
Formulanya sangat mudah! Buat apa dibelit-belitkan... Kesemua ADUN adalah pilihan rakyat! Jadi apabila berlaku kes macam ni... Pulangkan kepada rakyat...! Terpulanglah rakyat nak pilih siapa... Fobia kalah dalam pilihanraya ni macam perangai budak-budak pra tadika! Bila main, mesti nak menang! Bila kalah.... merajuk dan pulaukan permainan tersebut! Cuba macam pemain bolasepak dalam liga EPL ke... Sirie A.... Bundesliga ke... bermain bermati-matian.. tapi bila kalah... masih boleh bergurau dan bersembang dengan pasukan seterunya itu!
Apa yang PR nak hanyalah pulangkan kuasa itu kepada rakyat! Itu amanah rakyat yang diberi kepada PR masa PRU-12... Jika DS Nizar dengan semudahnya menyerahkan mandat rakyat itu kepada MB haram... nampak sangat tak sungguh-sungguh dalam menjaga amanah rakyat!

RAKYAT DIDAHULUKAN, KESEJAHTERAAN DIUTAMAKAN...


Syabas DS Nizar... Begitulah sifatnya jika kita ini dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya. Apabila kita tidak dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, atau apabila berlaku sesuatu yang menampakkan kita tidak jujur kepada rakyat, tidak telus, dan yang seumpama dengannya kita serahkan kembali kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil rakyat yang baru.
Ini tidak, dah sah-sah kerajaan yang dibina atas pemerkosaan terhadap mandat rakyat masih lagi dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kalau dah bukan hak kita, pulangkan saja kepada yang berhak untuk diselesaikan. DS Nizar beri tempoh 48 jam untuk MB 'mahkamah' memulangkan kuasa itu kepada rakyat sebelum dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Bukan ada jaminan menang kepada PR, tetapi asas undang-undang yang sedia ada terpaksa digunakan kerana PR masih menaruh harapan di sana ada 'tangan-tangan' yang mampu merealisasikan kebenaran dan ditempatkan di atas singahsananya yang sebeanar.
Apa yang penting ialah bubarkan DUN dan buat fresh election semula. Ramai pihak telah menyatakan hal ini secara jelas. Mungkin ada benarnya orang berkata; "Orang yang selalu menang, payah untuk menerima kekalahan". Inilah agaknya yang berlaku kepada UMNO Perak. Takut kalah.... Jika tidak, apa sebab lain agaknya? Menghormati keputusan DYMM Sultan Perak? Chitt.... pasal insiden nilah baginda tuanku teruk terpalit nista daripada rakyat jelata.

Saturday, May 23, 2009

SURAT HUSAM KEPADA PM...

Husam: Rampasan Kuasa Umno-BN Di Perak Ala Lanun Somalia
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meletakkan kesalahan ke atas Umno dan Barisan Nasional berhubung krisis politik terburuk dalam sejarah negeri Perak moden.
Dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mei kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata tercetusnya kemelut politik Perak adalah kerana Umno dan Barisan telah membelakangi prinsip-prinsip perundangan dan demokrasi demi meragut kuasa daripada sebuah kerajaan pilihan rakyat yang sah.
Surat beliau itu dihantar sebagai menjawab kenyataan Datuk Seri Najib di bawah tajuk “Perak Sultan Should Not Be Blamed” oleh Bernama dan “Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib” oleh Utusan Malaysia.
Berikut disiarkan surat Datuk Husam kepada Perdana Menteri:

YAB Dato’ Seri Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia
Putrajaya

YAB Dato’ Seri,

UMNO Lantik Menteri Besar Perak Sebelum MB Nizar Digugurkan Secara Yang Sah

Saya telah membaca kenyataan panjang lebar YAB Dato’ Seri di bawah tajuk: Perak Sultan Should Not Be Blamed: Najib, laporan yang dikeluarkan BERNAMA juga dipetik oleh Utusan Malaysia pada hari ini di bawah tajuk: Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib.
Penjelasan YAB Dato’ Seri ternyata menunjukkan YAB Dato’ Seri mengalami kekeliruan yang amat asas dalam isu krisis di Negeri Perak sekarang.
Bukan Sultan Perak yang dipersalahkan oleh orang ramai. UMNO dan secara khususnya, YAB Dato’ Seri lah yang dipersalahkan kerana telah mengesyorkan perlantikan Zambry Abdul Kadir untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada waktu Menteri Besar yang dilantik secara sah belum lagi digugurkan sebagai Menteri Besar!
Dari situ, timbul istilah dua Menteri Besar! Itulah yang dikatakan rampasan kuasa membelakangkan undang-undang khususnya undang-undang tubuh Negeri Perak yang menyatakan dengan jelas Menteri Besar yang telah dilantik hanya boleh gugur dengan empat cara iaitu;
a. Meletakkan jawatan.
b. Meninggal dunia.
c. Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
d. Melalui undi tidak percaya oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Di dalam kes di Perak, keempat-empat perkara di atas tidak berlaku. Nizar masih lagi Menteri Besar Perak pada waktu Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Inilah asas yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi ketika mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah sepanjang masa material, baru-baru ini.
Atas prinsip yang sama, penaung YAB Dato’ Seri, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa UMNO gopoh dalam pelantikan Zambry.
Pemimpin UMNO yang lain, YBM Tengku Razaleigh Hamzah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa perlantikan itu tidak sah kerana membelakangkan prosedur undang-undang berkaitan.
Betul Barisan Nasional melalui tiga wakil bebas yang bersama BN mempunyai lebih majoriti. Tetapi BN tidak boleh menggunakan kelebihan majoriti mudah ini sama seperti keadaan Menteri Besar belum terlantik selepas pilihanraya baru diadakan. Pada waktu itu, Menteri Besar belum ada. Sekarang, Menteri Besar sudah ada.
Undang-undang mengkehendaki Menteri Besar yang sah dihilangkan jawatannya melalui undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri secara rasmi dan bukan sekadar membilang berapa bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membuat pengakuan bersama BN di luar Dewan.
Ini pernah berlaku di Kelantan dalam peristiwa turn about about turn pada tahun 1968 di mana UMNO telah menculik dan mengugut empat orang ADUN PAS dan mereka telah membuat pengakuan menyokong UMNO/Perikatan untuk menggulingkan kerajaan PAS pada waktu itu, di luar dewan.
Oleh kerana Speaker yang dilantik oleh PAS juga telah berpaling tadah pada UMNO/Perikatan, beliau memanggil satu sidang Dewan Negeri Kelantan untuk tujuan itu. Malangnya, bila usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dibawa, ADUN yang tadinya mengaku akan menyokong usul itu telah berpaling tadah sekali lagi dan usul tidak percaya itu dapat dipatahkan.
Itulah proses yang digunakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada waktu itu. Pegawai-pegawai YAB Dato’ Seri boleh menyemak rekod ini untuk tujuan perbandingan. Proses yang sama mesti digunakan oleh UMNO/BN di Perak tetapi itu tidak dilakukan.
Dewan Undangan Negeri Perak di bawah YB Sivakumar selaku Speaker, tidak menggantung Sultan Perak atau mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa kecaman kepada Tuanku Sultan Perak kerana mereka tahu Tuanku tidak bersalah.
Yang bersalah ialah ADUN-ADUN berkenaan yang telah mengangkat nama mereka kepada Tuanku untuk angkat sumpah ahli-ahli Exco Negeri pada hal mereka semua tahu ia bertentangan dengan kehendak undang-undang tubuh Negeri Perak.
Mereka digantung kerana melanggar undang-undang tubuh Negeri Perak, bukan kerana Pakatan Rakyat mahu mengurangkan majoriti BN dalam Dewan Undangan Negeri.
Zambry pula bersalah kerana bersetuju untuk mengangkat sumpah sedangkan jawatan Menteri Besar belum dikosongkan.
Jika sekiranya UMNO/BN menggunakan proses yang dikehendaki oleh undang-undang dan satu usul tidak percaya telah diluluskan ke atas Nizar, mengikut undang-undang, Nizar boleh mengadap Sultan Perak untuk mendapat perkenan membubarkan DUN Perak atas prinsip mengembalikan hak menentukan kerajaan mana yang rakyat kehendaki untuk memerintah Perak melalui pilihanraya semula.
Ini kerana, rakyat telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Perak. Tiga ADUN yang melompat bertindak demikian bertentangan dengan pilihan rakyat dan ia adalah ambil alih kuasa menerusi pintu belakang. Sebab itu, penyelesaian terbaik ialah memulangkan semula kuasa itu kepada rakyat.
Pemimpin komponen BN sendiri semakin ramai yang menyuarakan hal ini secara terbuka.
Adalah amat malang bagi negara ini mempunyai Perdana Menteri yang tidak memahami prinsip undang-undang dalam isu ini dan juga prinsip-prinsip demokrasi. Apa lagi untuk menghormatinya.
Negara akan berhadapan dengan lebih banyak krisis jika sikap ini berterusan.
Segala-galanya bermula dari ketamakan untuk mendapat kuasa memerintah melalui jalan belakang. Jika ia berpunca dari ketamakan politik, penawarnya ialah politik juga iaitu UMNO dan BN bersama PR mengadap Sultan Perak untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Tidak ada rompakan ala lanun Somalia tetapi kepatuhan kepada undang-undang dan hasrat rakyat. Ini selari dengan kehendak Islam yang memberikan hak kepada yang berhak dan Islam sama sekali tidak mengizinkan pencabulan dan pemerkosaan hak rakyat.
Sekian Terima Kasih
Husam Musa
Naib Presiden PAS
21 Jumadal Ula 1430H
Bersamaan 16 Mei 2009
http://www.tvantara.com
--------------------------------------------
Meneliti surat YB Dato' Husam ini, menjadikan PM kita persis peribahasa "Bapak borek, anak rintik" atau "Like father like son". Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang menjelaskan kebenaran peribahasa di atas. Selain daripada episod penculikan ADUN seperti yang dinyatakan di atas, tindakan DS Najib tidak meletakkan calon BN bertanding di PRK Penanti juga adalah tradisi yang pernah dilakukan oleh ayahandanya di PRK Parlimen Menglembu, Perak pada tahun 1975. Entahlah... atas sebab apa peristiwa ini berlaku kepada beliau. Mungkin kebetulan atau suatu yang telah ditentukan. Peletakan jawatan mantan TKM1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Kamaruddin walaupun agak megejutkan tetapi itu mungkin hanyalah suatu sebab untuk menunjukkan peristiwa yang selanjutnya...
Siapa menyangka BN tidak akan letakkan calon... Bukan semudah itu BN mengaku kalah... Apatah lagi sedikit sebanyak ia akan mencalar maruah dan reputasi BN dan UMNO! Ramai yang beranggapan keputusan itu hanya gimmick politik, sehinggalah selesai penamaan calon... BN memang tidak bertanding...
Selepas ini apa lagi yang akan beliau buat bagi menyerlahkan keburukan peribadi beliau dan ayahnya. Sebelum peristiwa-peristiwa itu berlaku ramai yang tidak tahu dua perkara besar itu... Malah imej Alahyarham Tun Abdul Razak dilihat sangat tinggi... Apatah lagi jasa beliau dalam mengamankan Tanah Melayu selepas peristiwa 13 Mei dan berjaya mengeluarkan orang-orang Melayu dari lembah kemiskinan dengan tertubuhnya Felda...
Ah malangnya... Adussssss!!
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Rencana/20090520005335/Article/index_html

MAHKAMAH OH MAHKAMAH...

Keputusan Tiga Hakim Mahkamah Rayuan dianggap luar biasa
Saturday, 23 May 2009 •
Kategori: Berita Negeri, Berita Semasa, Mahkamah, Perak Anna Yusof
KUALA LUMPUR, 23 Mei (SK) : Tiga hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir dari adalah Menteri Besar Perak yang sah dan bukannya Nizar Jamaluddin dianggap luar biasa.
“Lebih mengejutkan ketiga-tiga hakim berkenaan mengambil pendirian senada bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengambil undi tidak percaya terhadap Nizar,” kata Setiausah politik Nizar, Misbahul Munir Masduki.
Hakim Md Raus Sharif, Zainun Ali dan Ahmad Maarop tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang mempunyai implikasi mendalam terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan kuasa-kuasa istana sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.
Mengulas keputusan mahkamah itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, “Negara kita mempunyai hakim-hakim luar biasa dengan kebolehan luar biasa.” “Kini Nizar hanya boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan sebagai ruang perundangan terakhir untuk menegakkan mandat rakyat dan perlembagaan negeri Perak,” jelas Misbahul dalam blognya hari ini.
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tentunya sukar ditelan oleh bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga pendokong demokrasi malah di kalangan peguam sendiri. Presiden Majlis Peguam Malaysia K.Ragunath berkata keputusan mahkamah hari ini seolah-olah meletakkan kuasa-kuasa Sultan sebagai menjangkau parlimen atau dewan undangan negeri. Ragunath berkata Mahkamah Rayuan seolah-olah memberikan Sultan kuasa-kuasa yang menjangkaui daripada apa yang diperuntukan oleh perlembagaan.
Penasihat Dap Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah tanpa penghujahan bernas adalah mengejutkan dan satu penganiayaan proses keadilan. Namun beliau menjangka keputusan itu akan menjejaskan lagi kredibiliti Perdana Menteri Najib Razak. “Keputusan hari ini hanya membuatkan rakyat lebih marah dan mempercepatkan kejatuhan Barisan Nasional,” kata Lim Kit Siang.
Ketua Pemuda Angkatan Keadilan Pemuda Samsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan keputusan itu “memualkan” dan dipengaruhi oleh tekanan politik. Beliau berkata keputusan tiga hakim itu jelas begitu cetek, tanpa disokong oleh fakta bernas bukan sebagaimana penghujahan lengkap yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar sah sebelum ini.
Pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan ini memang sudah dijangka kerana bibit-bibit campurtangan politik ini telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri sendiri apabila beliau berkata BN hanya akan menimbang mengadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat bagi mencari penyelesaian krisis politik Perak setelah selesai proses mahkamah.
Umumnya penyelesaian politik tidak ada kena-mengenai dengan keputusan mahkamah dan kenyataan Najib itu menimbulkan persepsi beliau sudah tahu hala keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat kenyataan itu awal minggu ini.
-----------------------------------------
Keputusan Mahkamah Rayuan yang serba tempang itu seperti telah dihidu oleh ramai pemerhati politik khususnya pro PR. Ia mula kelihatan sewaktu mahkamah yang sama menerima rayuan Dato' Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, walaupun Mahkamah Tinggi telah enggan menerima permohonan yang sama. Selepas itu permohonan DS Nizar untuk mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan ditunda dari 18/05/2009 kepada 21/05/2009 iaitu serentak dengan permohonan rayuan Dato' Zambry.
Dan... selepas ini apabila DS Nizar merayu pula kepada Mahkamah Persekutuan juga dilihat ramai sangat pesimis. Tapi bagi aku, DS Nizar telah melakukan yang sepatutnya... Berjiwa kental atas prinsip mendokong amanah rakyat... Rakyat Perak semakin lama semakin faham apa yang sedang mereka saksikan... Serta dapat menilai siapakah yang menjadi punca angkara ini semua...

SHABERY CHIK TAK SETUJU GELARAN SAMSENG JALANAN

SEREMBAN 23 Mei — Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak bersetuju istilah samseng jalanan digunakan bagi menggantikan gelaran mat rempit untuk merujuk kepada penunggang motosikal yang berlumba secara haram di jalan raya dan turut berkelakukan ganas.
“Gelaran samseng jalanan agak keterlaluan. Hanya segelintir sahaja dari mereka di kalangan mat rempit yang terlibat dengan jenayah manakala sebahagian besar lagi hanya anak muda biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baru-baru ini Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata istilah mat rempit perlu ditukar kepada samseng jalanan di samping dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori kepada golongan ini.
Gelaran samseng jalanan lebih sesuai kerana tindakan dan kelakuan ganas golongan itu boleh mengancam nyawa orang lain, katanya.
Ahmad Shabery berkata fenomena merempit merupakan satu ledakan budaya yang berlaku di mana-mana negara seperti yang dipaparkan dalam filem hollywood seperti Tokyo Drift dan The Fast and the Furious.
— LAGI SHABERY-REMPIT 2 (AKHIR) SEREMBAN “Keadaan ini sama dengan senario yang berlaku pada 80-an apabila masyarakat menentang budaya kumpulan motosikal scrambler dan tarian breakdance,” tambahnya.
Namun Ahmad Shabery tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan mat rempit yang dikatakannya memang sengaja mencari nahas kerana tidak mahu berlumba di tempat yang sudah disediakan.
“Mereka ini bukan berminat hendak berlumba secara betul. Kalau betul mereka serius nak aktif, mengapa tidak tubuh persatuan atau masuk persatuan lumba motor yang sedia ada,” katanya.
Beliau mahu pihak berkuasa melihat kepada akar masalah ini iaitu peranan ibu bapa kerana banyak motosikal yang dipakai oleh remaja mat rempit merupakan milik ibu bapa mereka. — BERNAMA
-----------------------------------

Aik... ada anak buah terlibat ke dalam merempit ke? Sekurang-kurangnya adalah peruntukan undang-undang untuk dakwa para perempit ni jika digelar samseng. Jika terus guna istilah rempit... rempit...rempit... dok nganga lah tengok depa tu terus merempit. sorang-sorang lagi insan yang tidak berdosa akan jadi mangsa... Bila tak kena saudara atau insan yang tersayang boleh lah cakap...

Saturday, May 16, 2009

SUDAHLAH BODOH... BANGANG PULAK!

Salam...
Seluruh rakyat negeri Perak (termasuk aku) tentunya rimas-serimasnya melihat 'mala-petaka' yang sedang melanda negeri ini. Tidak ada tanda-tanda yang menandakan haru-biru-kelabu ini akan berakhir dalam tempoh yang singkat. Angkara tiga mungkee (aku pinjam istilah Tukar Tiub) bertabiat katak menyebabkan segala angkara ini terjadi...
Sinar yang muai terbit lantaran keputusan Mahlamah Tinggi Kuala Lumpur itu sirna pula lantaran keputusan Mahkamah Rayuan menerima rayuan penangguhan kuat kuasa keputusan Mahkamah Tinggi oleh MB tak sah aka Pele Panglor. Kini keadaan semakin ke arah untuk menempatkan MB tak sah tu kepada yang sah lakunya. Hal ini dilihat apabila rayuan MB yang sah agar mengenepikan rayuan MB yang tak sah tu ditunda dari 18/05/2009 ke 21/05/2009 iaitu serentak kes rayuan MB yang tak sah di Mahkamah Rayuan.
Apa semua nih?
Tahu tak kesannya di peringkat rakyat? Semalam aku sempat bersembang dengan seorang ahli majlis berkuasa tempatan kat sini... Dia kata, huru-hara betul pengurusan PBT. Masalah sampah, longkang dsb yang di bawah kuasa PBT tidak terurus dengan baik...
Aku pening gak... dalam tempoh MB tak sah ni memerintah, ahli majlis PBT bertukar orang ke? Ialah dari lantikan PBT Rakyat kepda PBT BN? Aku nak tanya lebih-lebih tak sedap pulak... Nanti dia suspek aku plak nak sebar berita kat blogg ker...
Tapi... orang TM memang marah sangat-sangat kat Jamaludin (Yg Berhormat haram)... Pasal dia dan kawan-kawannya tu lah... Kalau jadilah fresh election kat Perak nih, aku tak yakin dia akan terpilih jadi calon UMNO kat TM (kalau dia melompat ke UMNO)... kecuali calon bebas... Dah dua penggal kuota BN bagi kat MIC. Kalau sebagai calon bebas... "cerah masa depan"! Boleh buat bungkus nasi lemak dua tiga lapis! Apa yang aku bengkak sangat kat dia... ada orang cerita... kalau ada election dia tak risau, sebab masa PRU lepas orang bukan undi parti, tapi undi dia sebab dia Melayu! Pi rahhh... kalau BN pilih MIC, dia bertanding atas tiket bebas... aku jamin ada calon Melayu lain akan bertanding atas tiket PKR atau PAS (ikut persetujuan PR lah!) Namun.. nak bagi si mungkee ni menang... jauh sekali!! Kita nak pilih lagi ke orang yang tak ada prinsip nih untuk jaga kepentingan rakyat dalam DUN Behrang? Duduk pun bukan dalam DUN Behrang! Ipoh mali maa...
Masa krisis perlembagaan sekarang ni.. tak nampak pun dia turun kat rapat umum untuk memaklumkan kepada rakyat DUN behrang, apa justifikasi tindakan beliau keluar dari PR... cakap-cakap kat TV kami tak boleh pegaang langsung. Hampeh! Ke tak berani? Takut kena baling telor tembelang! Katanya .. dia yakin tindakannya itu mendapat restu dari para pengundi di DUN Behrang! Buatlah roadshow bang.... ada berani ka?
Tindakan Jamaludin ni memang tindakan orang tak cerdik @ bodoh... nak tutup masalah RASUAH tapi gadaikan amanah para pengundi.. Tak ke bangang namanya tu!
Kesalahan Jamaludin dan 3 ekor tu lah yang menyebabkan akhirnya Baginda Sultan Perak "tersilap" melakukan keputusan... Kesian baginda kena kutuk dengan rakyat....

Saturday, May 9, 2009

ADUHAI ... ADUHAI...



Setelah beberapa ketika meneliti segala maklumat yang berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei lepas, beberapa perkara melintas di benakku. Maklumat yang aku dengar dari dua clip vieo di atas, antara sumber yang paling aku percayai serta beberapa maklumat lain kecuali saluran media BN!
Aku harap kerajaan (khususnya MOI), jangan marah kat rakyat kalau semakin ramai yang tak tengok TV saat nih! Bukannya kami terlalu emosional sehingga menolak kebenaran yang sepatutnya dijunjung. Tetapi jika apa yang disiarkan di TV tidak natural dan saksama maka selagi itu rakyat akan semakin 'percaya' kepada sumber-sumber alternatif. Namun, bagi rakyat yang tak dapat sumber alternatif, aku yakin depa masih percaya 300% kepada apa yang depa dengar dan tengok kat TV. Ada jugak yang dapat akses ke sumber alternatif tapi masih percaya juga kepada TV... itu terpulanglah. Ikut masing-masing punya pemikiran.
Berbalik dengan isu perlembagaan di Perak nih... Aku tak nampak apa asas atau justifikasi kepada tindakan polis buat itu semua. Mengangkat speker keluar dewan dengan menggunakan kaedah yang tidak bertamadun! Yang aku pelik, sapa punya idea tu? Kalau kita tengok kat luar negara, depa bergaduh ke... baling kasut ke... pihak dewan tu lah yang selesaikan.
Satu lagi... bila lantik speker dewan yang baru, tak perlu angkat sumpah ke? Jadi macam mana nak jalankan tugas bila tak angkat sumpah bagi menjalankan sesuatu tugas dalam dewan?
Kebiasaannya speker dewan dilantik dalam kalangan ADUN parti kerajaan yang memerintah. Jadi, bila lantik orang yang tidak berada dalam dewan DUN boleh ke? Kalau ADUN yang dah ada dalam dewan itu pun kena angkat sumpah untuk jalankan tugas sebagai speker dewan, inikan lagi orang yang sememangnya dari luar dewan.. kena angkat sumpah pakai tangan dan kaki kot? Hehehe...
Tapi yang aku paling marah... ini semua berlaku sebab tiga ekor tu lah! Satu negeri huru-hara! Dan yang aku paling-paling marah, mastermind yang rencanakan itu semua... 1 malaysia dah tahu kan! Bayangkan betapa besarnya dosa depa-depa tu! Tapi... kalau masih percaya bahawa ada dosa dan pahala lah kan!
Apa yang lebih lucu... rupa-rupanya Timbalan Speker yang melompat itu sewaktu dalam proses melantik speker yang baru (haram) mengambil alih tugas speker yang sah tanpa kebenaran. Apa punya cerita tuurr... kitab mana depa rujuk? Ingat ini persidangan bebudak sekolah ker? Ish.. aib...aib!
--------------------------------------------
Satu isu lagi berkaitan dengan beberapa komen pihak pro BN terhadap penjelasan dalam video klip di atas. Depa kata DS Nizar penipu dalam memberi statemen... Entah lah bagi aku, ai bergantung kepada cara kita berfikir. Jika kita kaki penipu, kita anggap orang lain sama macam kita. Contoh, dalam hubungan suami isteri.. bila si suami memang kaki pembelit, dia pun anggap isterinya sewaktu ketiadaannya juga macam dia! Sebab itu dia tak akan percaya kat isteri dia... tapi jika si suami jenis jujur... dia akan anggap isterinya jujur , sehinggalah ada bukti yang kukuh isterinya tidak jujur!
Jadi dalam hal video klip di atas, aku masih menganggap apa yang dimaklumkan oleh DS Nizar betul dan benar. Latar belakang dan keperibadian beliau yang sedemikian rupa yang menyebabkan aras kepercayaan aku sangat tinggi kepada beliau. Lain ceritanya jika orang lain yang bercakap, lebih-lebih lagi jika jelas dan nyata kefasikannya... Teringat cerita seorang penggembala kambing dengan orang kampung. pada peringkat awal apabila penggembala itu mejerit mintak tolong, orang kampung tolong. Tapi setelah beberapa kali mereka tertipu.. akhirnya apabila serigala makan kambing-kambing dia betul-betul.. sorang pun tak tolong. Itulah moralnya... apabila selalu menipu... pada satu-satu masa bila bercakap betul pun orang tak percaya... Wallahu 'Alam.

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...