Showing posts with label Komentar. Show all posts
Showing posts with label Komentar. Show all posts

Wednesday, May 27, 2009

BILA BOLEH BELAJAR POLITIK?

Sikap guru perlu ditegur
Oleh SALEHUDIN MAT RASHAD

MARAN 24 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegur sikap segelintir guru yang menanamkan ideologi politik di kalangan pelajar di sekolah.
Tegas beliau, tindakan seumpama itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni di sekolah.
Menurutnya, sebagai guru mereka sepatutnya mendokong aspirasi negara sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.
''Pendidik perlu menjayakan semua aktiviti dan program di sekolah atas nama kepentingan pendidikan dan bukan atas kepentingan politik atau peribadi," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran di sini semalam.
Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Pelajaran Daerah, Rosdi Ismail.
Adnan berkata, guru bertanggungjawab membangunkan minda pelajar sejajar dengan ajaran agama, norma-norma masyarakat dan prinsip Rukun Negara.
''Guru tidak wajar membiarkan pelajar berkembang atas kebebasan sendiri atau mengikut perubahan zaman tanpa mengambil kira cabaran dan keperluan masa depan mereka," katanya
Dalam pada itu, beliau mahu guru menumpukan usaha memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi asas perpaduan kaum di negara ini.
''Ia selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.
Beliau juga mahu guru menumpukan perhatian kepada masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing pada masa ini.
''Kejayaan seseorang guru juga diukur berdasarkan kemampuan mereka menangani masalah disiplin pelajar," katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dirancang diadakan di Pahang tahun depan.
Beliau berharap sambutan itu dapat diadakan dengan lebih meriah kerana ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri.
-----------------------------------------
Yang ini aku tak faham... Aku rasa tak banyak cikgu yang mempunyai ideologi politik yang songsang. Ia masih dalam wacana politik tanah air... yang diterima dalam amalan demokkrasi... Justeru cikgu kena beri maklumat tentang politik tanah air dengan tepat. Tidak kiralah apa jenis parti politik itu, asalkan menggambarkan keadaan yang sebenar. Terutamanya para pelajar tigkatan enam dalam mata pelajaran Pengajian Am. Mereka mesti kena faham tentang peranan parti politik dalam menyuburkan demokrasi di Malaysia. Bukan itu sahaja mereka kena tahu juga tentang senario politik yang berlaku kerana ia dianggap sebagai kes untuk dikaji. Contohnya apa yang berlaku di Perak. Betullah ada pemerhati politik yang mengatakan bahawa, Perak sekarang sudah menjadi sebuah universiti politik. Jika selama ini kita hanya dapat baca dari buku tentang sistem pentadbiran negeri, Dewan Undangan serta institusi kesultanan dan perkaitannya dengan politik dalam negeri tersebut, kini kita boleh lihat secara live!
Guru kena jelaskan apa yang berlaku, bincangkan agar maklumat yang diberi itu betul... Jika kita biarkan para pelajar cari maklumat dan buat tafsiran sendiri-sendiri... itu yang sesat! Soal menanamkan ideologi politik kepada murid tu... aku fikir bukan sebegitu... Cuma mungkin juga cikgu-cikgu ni minta pelajar menilai peranan dan kesignifinanan sesuatu parti politik dalam konteks keperluan dantuntutan politik masa kini. Soal akhirnya para pelajar itu memilih parti politik yang mereka sukai... bukan persoalan yang perlu dibincang... Itu terpulang... Kita tidak boleh menyekat kebebasan seseorang rakyat Malaysia untuk memilih parti politik mana kerana mereka akan mencapai usia 21 tahun beberapa tahun lagi...

Saturday, January 17, 2009

ISU KEPALA BABI: MELAMPAU!

Saya terpanggil untuk membuat komentar tentang isu kepala babi di sana-sini. Setelah kepala babi disangkutkan di luar pagar di sebuah surau di Melaka, kini kepala babi itu sudah masuk ke dalam surau di Universiti Malaya (tempat aku belajar suatu masa dulu). Saya fikir perkara ni sudah keterlaluan! Tidak waras dan terlalu emosional manusia yang meletakkan kepala babi itu ke dalam sebuah tempat ibadah umat Islam. Jika kepala lembu umpamanya pun sudah dianggap menghina apatah lagi binatang yang dikategorikan najis mughallazah! (Najis berat).
Dalam konteks bernegara seperti di Malaysia dua perkara yang perlu diambil kira kerana darjah kesensitifannya yang sangat tinggi. Pertama kaum dan kedua agama. Sesiapa sahaja yang cuba memainkan isu tersebut bersedialah untuk menerima kesannya sangat buruk. Tetapi dengan satu syarat, jangan baling batu sembunyi tangan! Berterus terang sahaja! Tunggulah kesannya dalam beberapa ketika.
Cuba kita bayangkan, bagaimana pula seandainya individu tertentu (yang tidak yakin dengan siasatan pihak polis) membuat tindakan membabi buta dengan meletakkan kepala atau apa sahaja bahagian haiwan yang dianggap najis atau tidak baik oleh penganut agama lain ke tempat ibadah kaum tersebut? Oleh sebab tidak diketahui dengan jelas siapa yang meletakkan kepala babi itu, maka orang Melayu akan meletakkan pula di mana-mana rumah ibdah penganut agama-agama lain! Apa pula akan terjadi? Dan, bagaimana pula seandainya yang meletakkan kepala babi itu adalah dalam kalangan orang Melayu sendiri?
Sedarlah! Jika hendak berpolitik, berpolitiklah dengan waras dan rasional. Hujah lawan hujah! Fakta lawan fakta! Retorik lawan retorik! Jangan seperti kanak-kanak. Apabila tidak boleh melawan, cari perkara lain yang boleh menimbulkan kemarahan seterunya. Umpamanya, ejek nama bapak! Hina keluarga! War-warkan tabiat buruk musuhnya! Itukah lambang kematangan politik di Malaysia, atau di kampus!
Pada hemat saya hanya manusia yang dayus sahaja akan menggunakan taktik kotor dan jijik ala Yahudi! Kenapa tidak! Ini lah golongan yang keras hati seperti yahudi, tidak mengira perasaan orang lain. Bertindak mengikut kepala sendiri!
Sehubungan dengan itu, pihak polis wajib meneruskan siasatan dengan teliti serta pihak universiti sendiri perlu membentuk badan siasatannya sendiri agar petualang keamanan negara itu dapat diberkas. Seterusnya perkara yang memanaskan hati ini tidak akan berulang selama-lamanya!

Thursday, January 15, 2009

DRAMA MERTUA VS MENANTU: NILAI APA YANG HENDAK DIPAPARKAN?

Untuk makluman, aku bukanlah seorang pengulas filem atau drama profesional. Juga bukanlah seorang kaki drama televisyen yang tegar sehingga sanggup duduk mengadap peti televisyen semata-mata untuk menonton program drama kegemaran...
Sebaliknya, aku hanyalah penggemar drama biasa. Aku hanya menonton drama televisyen jika ada masa lapang atau sambil membuat kerja-kerja rutin seharianku.
Aku sempat beberapa kali terserempak dengan drama bersiri Mertua vs Menantu. Itu pun tidak pernah melihat sehingga habis. Aku menjadi tawar hati untuk menghabiskan drama tersebut kerana aku tidak tahu ke arah mana drama tersebut ingin membawa khalayak penonton. Konflik yang tidak pernah selesai antara menantu dan mertua dan sebaliknya menimbulkan satu persoalan dalam benakku, adakah golongan muda yang belum berumah tangga harus mencontohi konflik tersebut tatkala mereka mendirikan rumah tangga kelak?
Sebelum aku menulis dalam posting ini, aku sempat juga meninjau pandangan dan komen para penonton tentang drama tersebut. Rata-rata memberi pujian dan ada laman yang meletakkan drama tersebut dalam rating yang tinggi. Namun, rata-rata memuji lakonan Erra Fazira. Itu kerana mereka sememangnya meminati lakonan Era Fazira. Bagiku, kualiti lakonan satu bab. Itu aku tidak nafikan, sememangnya kesemua pelakon telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik.
Cuma, satu bab lagi ialah mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak penonton. Aku rasa drama tersebut terlalu 'lama' mengutarakan aspek konflik antara mertua dan menantu. Aku rasa bimbang kepada golongan muda yang menjadi khalayak penonton tersebut akan terpengaruh dengan adegan-adegan keterlaluan yang dipaparkan dalam drama tersebut.
Sepatutnya, seorang ibu mertua mesti ditaati oleh anak menantu kerana seorang ibu mertua seperti ibu kandungnya. Begitu pula seorang ibu mertua semestinya menyayangi anak menantunya seperti anak kandungnya sendiri. Justeru, hubungan yang harmoni akan terjalin dan rumah tangga anaknya aman bahagia.
Mungkin ada yang berpendapat itu adalah realiti sebahagian kehidupan. Persoalannya, kenapa perlu kita mengutarakan cebisan kisah yang negatif itu untuk dibesar-besarkan. Jika perlu sekalipun, carilah aspek-aspek kehidupan yang lain. Bukan soal hubungan antara ibu mertua dan anak menantu. Jangan dihebah-hebahkan soal kebiadapan anak menantu dan kebobrokan akhlak emak mertuanya! Cukuplah filem "Ibu Mertuaku" lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Sarimah yang menyayat hati itu sebagai teladan dan sempadan betapa buruknya sikap seorang ibu mertua terhadap anak menantunya... Cukuplah!

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...