Saturday, May 23, 2009

SURAT HUSAM KEPADA PM...

Husam: Rampasan Kuasa Umno-BN Di Perak Ala Lanun Somalia
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meletakkan kesalahan ke atas Umno dan Barisan Nasional berhubung krisis politik terburuk dalam sejarah negeri Perak moden.
Dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mei kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata tercetusnya kemelut politik Perak adalah kerana Umno dan Barisan telah membelakangi prinsip-prinsip perundangan dan demokrasi demi meragut kuasa daripada sebuah kerajaan pilihan rakyat yang sah.
Surat beliau itu dihantar sebagai menjawab kenyataan Datuk Seri Najib di bawah tajuk “Perak Sultan Should Not Be Blamed” oleh Bernama dan “Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib” oleh Utusan Malaysia.
Berikut disiarkan surat Datuk Husam kepada Perdana Menteri:

YAB Dato’ Seri Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia
Putrajaya

YAB Dato’ Seri,

UMNO Lantik Menteri Besar Perak Sebelum MB Nizar Digugurkan Secara Yang Sah

Saya telah membaca kenyataan panjang lebar YAB Dato’ Seri di bawah tajuk: Perak Sultan Should Not Be Blamed: Najib, laporan yang dikeluarkan BERNAMA juga dipetik oleh Utusan Malaysia pada hari ini di bawah tajuk: Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib.
Penjelasan YAB Dato’ Seri ternyata menunjukkan YAB Dato’ Seri mengalami kekeliruan yang amat asas dalam isu krisis di Negeri Perak sekarang.
Bukan Sultan Perak yang dipersalahkan oleh orang ramai. UMNO dan secara khususnya, YAB Dato’ Seri lah yang dipersalahkan kerana telah mengesyorkan perlantikan Zambry Abdul Kadir untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada waktu Menteri Besar yang dilantik secara sah belum lagi digugurkan sebagai Menteri Besar!
Dari situ, timbul istilah dua Menteri Besar! Itulah yang dikatakan rampasan kuasa membelakangkan undang-undang khususnya undang-undang tubuh Negeri Perak yang menyatakan dengan jelas Menteri Besar yang telah dilantik hanya boleh gugur dengan empat cara iaitu;
a. Meletakkan jawatan.
b. Meninggal dunia.
c. Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
d. Melalui undi tidak percaya oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Di dalam kes di Perak, keempat-empat perkara di atas tidak berlaku. Nizar masih lagi Menteri Besar Perak pada waktu Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
Inilah asas yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi ketika mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah sepanjang masa material, baru-baru ini.
Atas prinsip yang sama, penaung YAB Dato’ Seri, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa UMNO gopoh dalam pelantikan Zambry.
Pemimpin UMNO yang lain, YBM Tengku Razaleigh Hamzah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa perlantikan itu tidak sah kerana membelakangkan prosedur undang-undang berkaitan.
Betul Barisan Nasional melalui tiga wakil bebas yang bersama BN mempunyai lebih majoriti. Tetapi BN tidak boleh menggunakan kelebihan majoriti mudah ini sama seperti keadaan Menteri Besar belum terlantik selepas pilihanraya baru diadakan. Pada waktu itu, Menteri Besar belum ada. Sekarang, Menteri Besar sudah ada.
Undang-undang mengkehendaki Menteri Besar yang sah dihilangkan jawatannya melalui undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri secara rasmi dan bukan sekadar membilang berapa bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membuat pengakuan bersama BN di luar Dewan.
Ini pernah berlaku di Kelantan dalam peristiwa turn about about turn pada tahun 1968 di mana UMNO telah menculik dan mengugut empat orang ADUN PAS dan mereka telah membuat pengakuan menyokong UMNO/Perikatan untuk menggulingkan kerajaan PAS pada waktu itu, di luar dewan.
Oleh kerana Speaker yang dilantik oleh PAS juga telah berpaling tadah pada UMNO/Perikatan, beliau memanggil satu sidang Dewan Negeri Kelantan untuk tujuan itu. Malangnya, bila usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dibawa, ADUN yang tadinya mengaku akan menyokong usul itu telah berpaling tadah sekali lagi dan usul tidak percaya itu dapat dipatahkan.
Itulah proses yang digunakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada waktu itu. Pegawai-pegawai YAB Dato’ Seri boleh menyemak rekod ini untuk tujuan perbandingan. Proses yang sama mesti digunakan oleh UMNO/BN di Perak tetapi itu tidak dilakukan.
Dewan Undangan Negeri Perak di bawah YB Sivakumar selaku Speaker, tidak menggantung Sultan Perak atau mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa kecaman kepada Tuanku Sultan Perak kerana mereka tahu Tuanku tidak bersalah.
Yang bersalah ialah ADUN-ADUN berkenaan yang telah mengangkat nama mereka kepada Tuanku untuk angkat sumpah ahli-ahli Exco Negeri pada hal mereka semua tahu ia bertentangan dengan kehendak undang-undang tubuh Negeri Perak.
Mereka digantung kerana melanggar undang-undang tubuh Negeri Perak, bukan kerana Pakatan Rakyat mahu mengurangkan majoriti BN dalam Dewan Undangan Negeri.
Zambry pula bersalah kerana bersetuju untuk mengangkat sumpah sedangkan jawatan Menteri Besar belum dikosongkan.
Jika sekiranya UMNO/BN menggunakan proses yang dikehendaki oleh undang-undang dan satu usul tidak percaya telah diluluskan ke atas Nizar, mengikut undang-undang, Nizar boleh mengadap Sultan Perak untuk mendapat perkenan membubarkan DUN Perak atas prinsip mengembalikan hak menentukan kerajaan mana yang rakyat kehendaki untuk memerintah Perak melalui pilihanraya semula.
Ini kerana, rakyat telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Perak. Tiga ADUN yang melompat bertindak demikian bertentangan dengan pilihan rakyat dan ia adalah ambil alih kuasa menerusi pintu belakang. Sebab itu, penyelesaian terbaik ialah memulangkan semula kuasa itu kepada rakyat.
Pemimpin komponen BN sendiri semakin ramai yang menyuarakan hal ini secara terbuka.
Adalah amat malang bagi negara ini mempunyai Perdana Menteri yang tidak memahami prinsip undang-undang dalam isu ini dan juga prinsip-prinsip demokrasi. Apa lagi untuk menghormatinya.
Negara akan berhadapan dengan lebih banyak krisis jika sikap ini berterusan.
Segala-galanya bermula dari ketamakan untuk mendapat kuasa memerintah melalui jalan belakang. Jika ia berpunca dari ketamakan politik, penawarnya ialah politik juga iaitu UMNO dan BN bersama PR mengadap Sultan Perak untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Tidak ada rompakan ala lanun Somalia tetapi kepatuhan kepada undang-undang dan hasrat rakyat. Ini selari dengan kehendak Islam yang memberikan hak kepada yang berhak dan Islam sama sekali tidak mengizinkan pencabulan dan pemerkosaan hak rakyat.
Sekian Terima Kasih
Husam Musa
Naib Presiden PAS
21 Jumadal Ula 1430H
Bersamaan 16 Mei 2009
http://www.tvantara.com
--------------------------------------------
Meneliti surat YB Dato' Husam ini, menjadikan PM kita persis peribahasa "Bapak borek, anak rintik" atau "Like father like son". Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang menjelaskan kebenaran peribahasa di atas. Selain daripada episod penculikan ADUN seperti yang dinyatakan di atas, tindakan DS Najib tidak meletakkan calon BN bertanding di PRK Penanti juga adalah tradisi yang pernah dilakukan oleh ayahandanya di PRK Parlimen Menglembu, Perak pada tahun 1975. Entahlah... atas sebab apa peristiwa ini berlaku kepada beliau. Mungkin kebetulan atau suatu yang telah ditentukan. Peletakan jawatan mantan TKM1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Kamaruddin walaupun agak megejutkan tetapi itu mungkin hanyalah suatu sebab untuk menunjukkan peristiwa yang selanjutnya...
Siapa menyangka BN tidak akan letakkan calon... Bukan semudah itu BN mengaku kalah... Apatah lagi sedikit sebanyak ia akan mencalar maruah dan reputasi BN dan UMNO! Ramai yang beranggapan keputusan itu hanya gimmick politik, sehinggalah selesai penamaan calon... BN memang tidak bertanding...
Selepas ini apa lagi yang akan beliau buat bagi menyerlahkan keburukan peribadi beliau dan ayahnya. Sebelum peristiwa-peristiwa itu berlaku ramai yang tidak tahu dua perkara besar itu... Malah imej Alahyarham Tun Abdul Razak dilihat sangat tinggi... Apatah lagi jasa beliau dalam mengamankan Tanah Melayu selepas peristiwa 13 Mei dan berjaya mengeluarkan orang-orang Melayu dari lembah kemiskinan dengan tertubuhnya Felda...
Ah malangnya... Adussssss!!
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Rencana/20090520005335/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

Jika ada kelapangan masa, sila tinggalkan comment konstruktif anda di sini, terima kasih.

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...