Thursday, February 5, 2009

WARKAH BUAT DATOK SERI IR. NIZAR JAMALUDDIN

Assalamualaikum wmth.wbth.

DS Ir.Muhamamd Nizar bin Jamaluddin,

Saya tak dapat menyembunyikan rasa sedih apabila Sultan Perak akhirnya melihat 3 orang ADUN Bebas yang tidak beretika; perasuah itu boleh mencukupkan bilangan ADUN untuk mentadbir negeri Perak Darul Ridzuan ini... Juga, baginda sultan juga seperti tidak nampak kelibat bapak perasuah Malaysia nombor wahid itu yang merencanakan itu semua...

Entahlah... ironinya ini semua berlaku masih dalam suasana sambutan jubli perak pemerintahan Baginda Seri Sultan Perak... Saya seperti kehilangan sekaki payung yang diharap akan dapat dijadikan tempat berlindung jua berteduh dalam pusaran taufan ganas politik lompat-melompat di negeri Perak ini.

Sungguh DS! Saya amat berharap agar baginda memutuskan untuk membubarkan DUN Perak atau empat DUN yang ADUNnya melompat-melompat itu... Walaupun pada mulanya saya beria-ia mahu agar tidak berlaku pilihan raya kecil kerana senario ekonomi dunia yang kian gawat. Tetapi, melihat begini kesudahannya... apa yang paling adil ialah pembubaran keempat-empat DUN itu... Biarlah rakyat yang memilih kembali siapakah yang berhak menjadi wakil mereka di DUN Perak.

Namun, harapan itu kini tinggal harapan... Saya berharap DS Ir.Nizar tidak kecewa sangat dengan percaturan politik yang gila babi ini... Ternyata BN dan UMNO bukan seteru yang boleh diacah-acah, dimain-main, ternyata mereka ada kesemuanya... dan yang paling berkuasa ialah wang! Bagi mereka matlamat boleh menghalalkan cara. Selepas ini, kita kumpulkan semula semua cerita-cerita duka ini temasuk bagaimana keempat-empat ekor itu boleh melompat dan kumpulkan sebanyak saksi dan bukti untuk dibawa ke mahkamah... Bukan nak memerintah kembali negeri Perak sangat buat masa sekarang, tapi untuk memerintah Malaysia dalam PRU yang akan datang...

Perjuangan kita sama ada secara zahir atau secara maya wajib diteruskan, kita akan kumpulkan segala episod jijik dan jelek ini bagi menghadapi PRU ke-13 Insya Allah... Belum tentu rakyat menerima seluruhnya percaturan gila ini dan keputusan Baginda Sultan Perak, kerana di sana saya percaya ada lagi keputusan yang lebih adil daripada itu... Tetapi siapalah kita.

Serahkanlah jawatan MB yang Najib gila-gilakan itu. Nanti, tentunya beliau akan melantik seseorang yang setaraf dengannya bagi mentadbir negeri ini... Orang seperti DS tidak akan dapat melawan arus apabila punca arus itu sedang dikawal oleh muka-muka gedebe politik yang tidak pernah ditarbiah serta jahil tentang hukum dan azab Allah S.W.T.

Bagi mereka yang faham bahawa jawatan bukan platform untuk jadi kaya, mengaut kemewahan serta kuasa, malah medan ujian sejauh mana kita berlaku adil terhadap amanah serta tanggungjawab yang diberikan, tentunya kekadang rasa lapang dan tenang apabila tanggungjawab itu tiada lagi. Cuma, saya faham sedihnya kita kerana begitu licik permainan mereka bagi mendapatkan kekuasaan di negeri Perak ini.

Saya percaya seluruh rakyat yang cinta akan keadilan tidak merestui apa yang berlaku ini... Tapi rata-ratanya akan menerima tribulasi ini dengan lapang dada... Tidak mengapa, kita undur selangkah untuk menyusun seribu langkah bagi memecut kehadapan...

Itu sahaja yang saya dapat dinukilkan dalam lewat detik yang sayu ini... Semoga sihat sejahtera hendaknya selepas ini... salam ukhuwah daripada saya.
Takbirrr....

Wassalam...

1 comment:

Jika ada kelapangan masa, sila tinggalkan comment konstruktif anda di sini, terima kasih.

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...