Wednesday, February 4, 2009

PROVOKASI DSAI BERJAYA TETAPI TERLALU MAHAL HARGANYA...

Sewaktu catatan ini sedang digondam, kerajaan Perak dengarnya hampir bertukar warna bendera. Bakal turunnya bendera Pakatatan Rakyat dan naiklah bendera Barisan Nasional. Bakal berkibar dengan megah setelah berjaya memporak perandakan kerajaan PR selama lebih kurang seminggu. Bergantunglah kepada DYMM Sri Sultan Perak untuk menggunakan kebijaksanaan baginda...

Kelihatannya satu antiklimaks yang sangat tragis! Begitulah alkisahnya, matlamat menghalalkan cara... Setelah terdesak Bagi 'memulihkan' imej UMNO (kerana itulah nyawa orang Melayu) dan BN Perak, adegan lompat-melompat berlaku di sana-sini. Bagaikan beberapa siri episod drama Bollywood akhirnya dicantumkan bagi memenangkan hero pada akhirnya. Undang-undang dibelakangkan, maka apa sahaja yang perlu dilakukan, lakukanlah... maruah diri, bangsa, agama cerita kemudian!

Apabila 16 September yang dicanangkan oleh DSAI tidak menjadi kenyataan, bagi sesetengah pihak ia hanyalah mimpi di siang hari, memang tak akan jadi kenyataan. Namun, tidak kurang juga yang masih mengharap sehingga kini agar ia akan tetap terjadi.... Bagi aku, situasi itu sekadar provokasi kepada BN. Aku pun tak nampak di mana asasnya seramai 30 orang MP yang nak melompat ke Pakatan Rakyat. Usahkan 30, seorang pun melompat keluar dan melompat balik semula! Itulah wajah politik sebenarnya. Penuh tipu helah, taktik licik dan kekadang memualkan! Justeru kalau berjiwa kecil alias penakut, tak usahlah masuk politik. Orang kata politik ni kotor! Tapi, aku tak fikir begitu. Apa yang kotor bukan politik tetapi orangnya. Politik hanyalah kuasa. Kuasa untuk memerintah dan mentadbir. Tak ada masalah! Tapi apabila pesada politik dipenuhi dengan jiwa-jiwa yang korup, maka inilah jadinya.

Aku juga yakin Pakatan Rakyat tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli seramai lebih 30 orang MP bagi menyeberang ke kem pembangkang di Dewan Rakyat. Jadi ia bolehlah dianggap sekadar omong-omong kosong sambil mengacah-ngacah sang pemerintah, seraya melihat-lihat bagaimana latahnya, ketaqnya... Walaupun 16 September tidak jadi kenyataan isu-isu yang mendedahkan satu demi satu korupnnya sebahagian besar pemimpin UMNO semakin jelas kelihatan satu-persatu. Tak payah orang luar buat report polis, depa sendiri secara sukarela menyatakan kebejatan sebagaian daripada pemimpin mereka atau seteru mereka. Justeru, pemilihan UMNO Mac ini umpamanya, agaknya SPRM tak larat nak siasat! Beratus-ratus aduan dan laporan gejala tersebut diterima, tapi belum satupun kata Dr.M disiasat. Sampai ada yang buat 'fatwa', bukan politik wang, cuma guna wang dalam politik untuk membeli keperluan logistik dan sebagainya... biasalah kan...kan...kan

Jadi, apabila ADUN Bota lompat keluar! DS Tajol Rosli yang agaknya masih banyak segan silunya, akal budinya, tak mampu nak buat yang brutal-brutal... Lalu meletakkan jawatan. Tapi bila DS Najib ambik alih... terjadilah apa yang telah terjadi... Sorok ADUN, beli ADUN, tawar jawatan Menteri Besar dan segala-galanya dengan wang yang entah dari manalah datangnya? Yang ini wajib SPRM siasat betul-betul!

Akhirnya sebuah kerajaan negeri pilihan rakyat bakal sujud menyembah bumi pada tanggal 5 Februari 2009 setelah berusaha dengan segala kedrat yang ada menjalankan amanah rakyat selama lebih kurang 11 bulan. Tetapi, polemik politik di Perak telah menjelaskan sejelas-jelasnya pengaruh wang sangat berkuasa! Wang berjaya membeli jiwa yang rapuh alias tidak beriman yang teruja dengan itu semua. Alhamdulillah ADUN PAS sehingga kini bersih. Tahniah! Lihatlah, selepas ini banyak watak-watak utama episod sedih ini yang akan diingati oleh rakyat Malaysia. Satu-persatu. Yang gemuk, yang tinggi, yang bantut, yang pipih, yang hitam, yang putih, yang sulah dan yang itu dan ini. Terpahat dalam memori selama-lamanya, selagi hayat dikandung badan...

Kalau tiada apa-apa lagi kejadian ngeri sebegini selepas ini (tanpa mengambil kira 3 orang ADUN UMNO yang tak buat aku janji dengan DS Najib...), walaupun kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat tidak berjaya diasaskan tetapi yang berjaya ialah provokasi DSAI mencungkil perasuah-perasuah jerung yang selama ini berselindung disebalik ikan-ikan bilis... kambing-kambing putih di sebalik kambing-kambing hitam... bagi dimahsyurkan secara rasminya kepada hampir 30 juta rakyat Malaysia... Cuma yang sedihnya, bagi membongkar watak-watak besar perasuah negara ini.. harganya terlalu besar! Negeri Perak taruhannya!

Akhirnya, aku dengan ini... secara tulus dan mulus, sesungguhnya tidak menghalalkan undi aku buat ADUN Behrang dunia dan akhirat!!! Aku mohon ke hadrat Allah S.W.T. agar diampunkan kesalahanku mengundi beliau dalam PRU yang lepas lantaran jahilnya aku membaca isi hati dan akal budi beliau. Ya ampuuunnnn...

No comments:

Post a Comment

Jika ada kelapangan masa, sila tinggalkan comment konstruktif anda di sini, terima kasih.

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...