Monday, December 29, 2008

MAAL HIJRAH 1430 ...

Salam Maal Hijrah 1430...
Tahun silih berganti, slogan bertukar nada, apa yang kita harapkan dengan kehadiran tahun baru hijrah ini...
Pembunuhan terhadap umat Islam di Palestin oleh zionist Israel masih belum ada tanda noktahnya. Kemiskinan dan kebuluran belum ada isyarat akan reda...
Negara yang dulunya makmur serta pusat tamadun dunia, kini sudah jadi padang jarak padang terkukur!
Ke mana negara-negara Islam yang kaya raya! Berkuasa! Tidak tersentuhkan pada hati dan perasaan untuk bersatu atas nama Islam... Jika mereka dibiarkan, maka yang terpencil itu akan nekad untuk bertindak dengan sekadarnya. Lalu mereka dilabel terrorist!
Maal Hijrah 1430, masih adakah sinar keamanan dan kebahagian untuk seluruh umat Islam. Selepas ini mana lagi negara umat Islam akan menjadi mangsa kejahatan yahudi dan nasrani!
Dan, sampai bilakah kita akan terus menyambut Maal Hijrah dengan slogan yang baru tetapi dengan fenomena yang masih lama....

Friday, December 26, 2008

AHLAN WA SAHLAN ILA TG.MALIM...

Selamat datang ke Tg.Malim itulah maksudnya... Antara bahasa Arab yang masih terselit dalam mindaku...
Kalau anda pernah bermustautin di pekan Tg.Malim (PBT masih di bawah Majlis Daerah Tg.Malim...) atau pernah hinggap beberapa ketika pada suatu masa dulu, tentu anda fenin nak mengecam dari arah mana foto di atas ini aku ambik... Inilah antara lanskap terkini Tg.Malim... Inilah fly-over dari jalan Slim River-Kuala Kubu Baharu (Ipoh-KL) ke pekan Tg.Malim. Jadi, tak lalu lah track keretapi yang telah sekian lama menjadi lanskap sejarah Tg.Malim tu... Maknanya, jalan depan masjid terus ke pekan tu sekarang dah ditutup. Sebab, pembinaan double track lane untuk komuter (masih belum lagi beroperasi da...)
Bukan itu persoalannya.... Cuba tengok betul-betul bukit Cangkat Asa yang melatari fly-over tu... Sejak lebih 13 tahun menetap di TM ni... bukit tu dah kian gondol sekarang. Kalau kepala manusia yang gondol, hehe.. ada juga yang menyukainya! Tapi yang hairannya masa bila depa buat kerja aku pun tak pasti... Cuba tunggu setahun kemudian... aku rasa kawasan yang gondol tu akan bertambah luas lagi... (Bila waktu-waktu begini rugilah pulak dulu tak ambik gambar bukit tu.. atau nanti aku selongkar gambar-gambar yang tak sengaja nak ambik gambar bukit tu aku temui, aku akan paste kat blog ni.)
Bagi aku lah, kalau memang dah cukup haul dan nisabnya pokok-pokok kayu tu nak dikorbankan, tak apa lah... Itu adalah sebahagian punca pendapatan kerajaan negeri. Tapi yang aku musykil, mahal sangat ke harga sebatang benih pokok untuk ditanam bagi menggantikan jutaan RM yang 'dituai' dari kerja-kerja pembalakan tu. 'Win-win' lah! Kita masih perlukan pokok-pokok untuk bekalan oksigen... Malah ia lebih penting daripada RM itu sendiri!
Harap-harap janganlah pulak pembalakan haram! Kalau kerajaan negeri yang membalak, tolonglah hijaukan balik bukit tu... Biarlah kita lestarikan pekan Tg.Malim ni dengan kehijauan yang terancang di samping pembangunan fizikal yang diperlukan...

PPSMI: GAPENA BERI KATA DUA....

PPSMI: Gapena beri kata dua 31 Dis
Dec 24, 08 11:21am
Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada kerajaan untuk membatalkan pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).Jika gagal, ia bercadang untuk mengambil tindakan serius terhadap kerajaan termasuk mempertikaikan dasar itu di mahkamah, lapor Bernama.Ketua II Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata gabungan itu mahukan supaya kerajaan bertegas dan mengambil kata putus dalam isu berkenaan secepat mungkin."Menteri Pelajaraan boleh cakap kami beremosi. "Hakikatnya kami memang beremosi, tetapi ini ialah demi mempertahankan martabat Bahasa Melayu seperti yang terkandung di bawah Perlembagaan," katanya selepas majlis makan malam Gapena bersama media malam tadi.Gapena sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kepada Bahasa Melayu."Kami bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf.Pada majlis yang sama, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan akhbar Utusan Malaysia menerima anugerah sulung Anugerah Citra Gapena
Salam...selepas 23 hari aku bersilat dan berkuntau dengan tugasanku,hari ini aku bagai sang katak yang telah keluar dari tempurungnya.... Ah.. leganya!! Antara banyak-banyak perkara yang mencuit mindaku ialah tentang "ugutan" GAPENA nak bawa kes PPSMI ke mahkamah jika Kementerian Pelajaran tak mansuhkan PPSMI. Wah! sejak kebelakangan ni banyak betul NGO yang dulunya nampaknya macam kaki enggeh.. kini dah berani menampakkan belangnya yang sebenar. Aku tak berani nak ulas banyak dalam hal ini memandangkan aku berada di peringkat pelaksana dasar tersebut... Cuma aku nak tunggu respon KPM atas kata dua GAPENA tu.. Tungguuuu...

Thursday, December 11, 2008

CERITA PILU SEORANG KAWAN..

Beberapa ketika lalu... aku didatangi cerita secara online tentang seorang kawan virtual. Cerita tentang adiknya yang bakal kehilangan anak-anak lantaran si isteri menuntut cerai daripadanya. Si anak akan diambil sepenuhnya oleh si isteri... Selepas 2 tahun si suami bersabar... dah tak boleh tahan dengan desakan-desakan si isteri mintak dilepaskan bersama-sama anak-anaknya.
Ceritanya bermula bila si isteri berpeluang sambung belajar ke peringkat ijazah dan selepas tamat pengajian, perubahan demi perubahan kian jelas... Keadaan itu dirangsang lagi dengan kehadiran orang ketiga. Kini si suami ke arah mahu memenuhi tuntutan si isteri itu...
Persoalannya kini... apakah nawaitu kita belajar ya? Atau dalam bahasa yg lebih sopan "menimbu ilmu" sampai ke menara gading? Untuk ilmu kah atau untuk ganjaran-ganjaran di sebaliknya? Mungkin ada yang kata dua-dua lah... Ok betul... kedua-duanya perlu. Tetapi mana yang pertama? Silap memilih keutamaan kita akan kecundangan!
Jika kita salah pilih dengan mendahulukan yang tak sepatutnya didulukan... ilmu itu tidak persis buah padi... "semakin berisi... semakin tunduk"... Malah ia akan jadi macam lalang.. "makin tua makin berdiri"... malah yang paling dahsyat lagi ialah ia akan menjadi mekanisme yang menentukan tinggi dan rendahnya status atau drjat seseorang! (Tinggi dan rendah itu boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai situasi yang lain).
Sepatutnya setiap ilmu yang dipelajari akan menjadi dian atau lilin bagi menerangi setiap kegelapan dalam diri kita... Bukan sahaja ilmu agama. Apa-apa juga ilmu itulah sifatnya... Justeru bila kita berilmu dan 'alim dengan ilmu itu... kita akan rasa tawadhuk. Berkongsi ilmu itu dengan orang-orang yang terhampir... yang memberi sokongan dan dokongan kepada kita semasa proses pencarian ilmu itu berlangsung... Kerana sifat ilmu itu semakin dikongsi semakin bertambah... bukan macam duit atau harta... Semakin dikongsi semakin habis!
Justeru, amat malanglah golongan kedua itu. Lantaran ilmu itu dianggap sebagai mekanisme menjadikannya lebih pandai, hebat dan gah menyebabkan hilang nikmat-nikmat lain yang sangat tinggi nilainya. Umpamanya rasa sayang, kasih dan cinta kepada insan yang sewajibnya kita cintai dan sayangi...

Wednesday, December 10, 2008

DARI JENDELA KAMARKU

(Buat mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa & Ulu Yam)

Dari jendela kamarku,
Menerawang ke arah
banjaran Titiwangsa,
Berbalam indah
awan putih menyelimuti puncaknya...
Dingin dan nyaman persis menyapaku

Namun,
Di sebalik banjaran itu
khabarnya ada insan yang sedang
meratapi ahli keluarga yang secara tiba-tiba permisi
dan tak akan kembali-kembali...

Khabarnya lagi,
banglow yang dibina jutaan ringgit itu
telah ranap ditelan bumi.
Namun, itu tidaklah sebesar nilai
insan-insan yang kepergian itu...
Ah, sesal tanpa penghujungan pun
tidak akan meredakan kepiluan
yang telah mengisi
setiap sudut ruang rindu dan kasih yang ditinggalkan.
Malah, ruang rindu itu kian
memanjang, kosong dan seakan tiada penghujungnya...

Dari ruang kamar ini, aku menginsafi
betapa peritnya jiwa-jiwa yang dipaksa berpisah
pada saat rindu dan sayang itu sedang
mengelopak dan mekar dalam sumur cintanya

Dari ruang kecil ini
Aku cuba memahami
sesungguhnya lebih mudah membeli kekayaan
biarpun jutaan ringgit nilainya
Tetapi amat payahnya membeli kembali rindu dan sayang
yang telah terpisah
walaupun jutaan ringgit bukan masalahnya...

Taman Bernam Baru
Tg.Malim

Monday, December 8, 2008

SELAMAT MENYAMBUT 'EIDUL ADHA...

Pada kesempatan ini aku nak ucapkan selamat menyambut 'Eidul Adha kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana anda berada. Tidak kira apa kondisi anda, bagaimana emosi anda... Kita menyambut detik dan tanggal yang sama... 10 Zulhijjah!
Dua tiga minggu ini musim pejur... kadar hujan turun melebihi kadar biasa... Justeru, ada tanah yang menggelongsor, rumah tertimbus dan tidak kurang juga ada nyawa yang berpisah daripada tubuh. Itulah rencah alam mutakhir ini. Namun, peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim A.S., Nabi Allah Ismail A.S. dan Saidatina Siti Hajar menjadi perbandingan antara bentuk-bentuk pengorbanan di atas muka bumi mutakhir ini.
Pada kesempatan ini aku nak titipkan salam takziah kepada seluruh mangsa tanah runtuh di Hulu Kelang (Bukit Antarabangsa) yang meragut 4 nyawa. Tiga daripada mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dikenali sebagai Shaiful Khas Shahrudin, 20, seorang doktor haiwan, S Yogeswari, 40 dan seorang Ng Yee Peng, 30. Serta yang terakhir seorang warga Indonesia.
Persoalannya... perlu ada lagikah mangsa-mangsa sebegini pada masa akan datang? Kenapa kita tidak pernah belajar dari sejarah silam? Untuk apa sesuatu peristiwa itu didatangkan oleh Allah S.W.T. kalau tidak untuk dijadikan iktibar dan teladan... Untuk apa kita menjadi kaya raya kalau 'bayarannya' ialah kesengsaraan orang lain... kemusnahan dan kematian!

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...