Tuesday, June 2, 2009

MB MAHKAMAH DIAIBKAN OLEH RAKYAT...

Zambry, Menteri Dihalau Penduduk Kampung
Walaupun Dr Zambry Abd Kadir berjaya memegang jawatan Menteri Besar melalui kaedah keputusan rayuan mahkamah, namun ia tidak bermakna rakyat Perak juga semestinya bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut.
Kejadian yang berlaku terhadap Dr Zambry, serta rombongannya (termasuk anggota polis) sudah cukup memberi gambaran dan pengertian bahawa jabatan menteri besar yang dijawatnya tidak diiktiraf oleh rakyat jelata Perak yang rata-rata mahukan supaya Dewan Undangan Negeri dibubar seberapa segera.
Kejadian berlaku di Batu 8, Lekir semalam kira-kira pukul 2,30 petang ketika Dr Zambry, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Lumut Kong Cho Ha dan rombongan beliau dihalau oleh tuan rumah kerana meletak kenderaan mereka tanpa meminta izin tuan punya terlebih dahulu.
"Menteri Besar Mahkamah" itu berada di kawasan tersebut kerana berhasrat menziarah mangsa angin ribut yang melanda malam sebelumnya.
Menurut penulis blog manjungmari, oleh kerana tidak ada laluan ke rumah mangsa Dr Zambry serta rombongan mengambil keputusan untuk meletakkan kereta mereka dihalaman rumah rumah salah seorang penduduk di situ.
Melihat sahaja kehadiran Dr zambry diperkarangan kediamannya, tuan rumah telah meluru keluar dan menghalau beliau serta rombongan keluar daripada tanahnya.
Walaupun diarah keluar Dr Zambry seolah-olah tidak mahu melayan herdikan tuan rumah tersebut malah pemandu kereta rasmi beliau dan kenderaan lain terus meletak kenderaan mereka di halaman rumah tersebut.
Penulis blog itu menceritakan lagi Dr Zambry cuba mengertak tuan rumah dengan menanyakan sama ada beliau membayar cukai ke atas tanah yang didudukinya.
Ini menyebabkan tuan rumah tersebut bertambah marah dan terus menghalau beliau dan akhirnya lawatan mengejut kepada mangsa angin ribut terpaksa dibatalkan.
Lebih memalukan rumah mertua Dr Zambry dikatakan terletak berdekatan rumah di mana beliau serta rombongan dihalau.
Menurut penulis blog lagi keadaan jauh berbeza apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin berkunjung ke tempat yang sama pada sebelah petangnya.
Beliau serta rombongan disambut mesra bukan sahaja oleh tuan rumah tersebut malah penduduk di situ.
Sambutan rakyat di peringkat akar umbi terhadap Dr Zambry dan Nizar sudah cukup memberi penilaian terhadap perasaan rakyat berhubung kemelut politik Perak yang sehingga kini belum mencapai penyelesaian muktamad.
Lebih-lebih lagi kejadian yang agak memalukan berlaku ke atas seorang ketua eksekutif kerajaan negeri memberi pengertian hakiki siapa "Menteri Besar Sah" dan siapa pula "Menteri Besar Mahkamah".
http://www.tvantara.com/v1/newsdetails?news=1309
---------------------------------------------
Zambry Patut Muhasabah Diri Bukan Salahkan Rakyat
Dr Zambry Abd Kadir kesal kerana ada pihak yang menanam benih kebencian dan permusuhan dalam hati penduduk kampung yang menghalau beliau keluar daripada tanahnya semasa beliau dan rombongan berkunjung ke Batu 8, Lekir, Manjung untuk melihat dan menziarah mangsa angin puting beliung dua hari lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan penduduk kampung yang menghalau beliau tetapi meletakkan kesalahan ke atas bahu pihak yang menanam perasaan benci dan permusuhan itu.
"Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan. Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu.
"Penghasut itu mungkin sudah tidak ada di kampung lagi. Dia mungkin datang sekali sekala untuk memberi "baja" ceramah kebencian," tulis beliau dalam blognya hari ini.
Dr Zambry juga merungut kerana seringkali tangan yang dihulurkan untuk bersalam dengan rakyat Perak tidak disambut dan mengaku perkara tersebut telah berlaku berkali-kali sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar.
"Jarang anda saksikan orang dan penyokong Barisan Nasional enggan bersalam apabila tangan dihulur. Tetapi saya mengalaminya sendiri sudah berkali-kali.
"Saya tetap pergi jua kepada mereka kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan mereka hanya terpengaruh dengan ceramah-ceramah politik yang mengapi-apikan kebencian. Akhirnya yang lahir adalah generasi pembenci," kata Dr Zambry lagi.
Peristiwa kena halau daripada melawat mangsa tragedi alam benar-benar telah melukai hati Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor itu.
Beliau juga mengambil kesempatan dalam blognya untuk menyatakan kekesalannya terhadap penulisan dalam sesetengah blog dan akhbar yang dakwa beliau bersifat "manipulatif" sehingga menyebabkan "hilang rasa mahabbah (kasih sayang sesama umat).
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana akhbar yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang berteraskan perjuangan Islam tidak rasa berdosa dan bersalah menulis sesuatu yang penuh dengan kebencian sehingga melahirkan generasi pembenci yang sangat parah buat ummat Islam sendiri.
"Demikian juga dengan portal-portal berita yang dikeluarkan selain dari blog-blog yang menulis penuh manipulatif sehingga hilangnya rasa "mahabbah" (kasih-sayang sesama umat)," tulis bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi.
Dr Zambry juga berkata antara perkara yang paling dibencinya ialah "bila agama menjadi sandaran untuk seseorang menabur fitnah dan menabur maki hamun yang tidak langsung ada batas-batas keagamaan".
Mungkin ramai yang berasa simpati terhadap nasib yang menimpa Dr Zambry yang baru empat bulan memegang jawatan Menteri Besar Perak.
Sebagai manusia akhlak dan pekerti yang mulia sememangnya menjadi asas kepada keperibadian seseorang.
Dalam insiden di mana beliau dihalau oleh penduduk kampung persoalan yang wajar ditanya beliau bukanlah siapa yang menyebabkan perasaan benci dan permusuhan itu wujud dalam masyarakat tetapi MENGAPA keadaan itu berlaku.
Rasanya sebagai Menteri Besar daripada Umno dan Barisan Nasional Dr Zambry tidak mempunyai masalah untuk menjawab persoalan ini.
Walau bagaimanapun elok diperturunkan beberapa rentetan peristiwa besar yang berlaku dalam senario politik Perak sejak beliau dilantik ke jawatan itu.
Pertama, beliau sudah tentu akur dan menerima hakikat bahawa rakyat Perak telah menjulang Pakatan Rakyat sebagai kerajaan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.
Mereka telah memberi 54 peratus daripada jumlah undi kepada wakil-wakil Pakatan Rakyat yang bertanding dan dengan itu gagasan itulah yang mereka pilih untuk memimpin rakyat dan pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dr Zambry juga semestinya akur rakyat Perak terkejut, terperanjat dan tersentak apabila bangun daripada tidur pada 5 Februari 2009 mereka diberitahu bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mereka pilih dan sokong tidak lagi wujud.
Sebaliknya kerajaan negeri Pakatan Rakyat diganti oleh kerajaan negeri Barisan Nasional da Dr Zambry sendiri telah dilantik ke jawatan tersebut pada 6 Februari 2009 bagi menggantikan Mohammad Nizar Jamaluddin.
Perasaan berkecamuk dalam sanubari rakyat Perak diparahkan lagi apabila mereka mengetahui bahawa tumbangnya kerajaan negeri pilihan mereka adalah hasil "tangan-tangan ghaib" Umno dan BN yang "menculik", "mengugut" dan "membeli" sokongan tiga ADUN Pakatan Rakyat.
Tidak mungkin rakyat Perak yang matang dalam perkiraaan politik dan berfikiran waras boleh menerima apa yang telah dilakukan oleh Umno dan BN.
Malah dalam amalan demokrasi di mana-mana negara didunia sekali pun budaya "mencuri" dan "membeli" wakil rakyat untuk menumbangkan kerajaan pihak lawan amat dipandang tidak demokratik malah dikeji.
Rakyat Perak marah dengan Umno dan BN kerana telah melakukan apa yang dilihat sebagai satu bentuk manipulasi politik yang keji dan hina serta berlandaskan politik kedurjanaan dan murahan.
Rentetan peristiwa yang berlaku selepas itu hanyalah cerminan daripada "kebencian" dan "permusuhan" hasil daripada kerjatangan Umno dan BN sendiri.
Kekecohan sidang DUN 7 Mei lalu yang menyaksikan Speaker V. Sivakumar diheret dan dikurung oleh individu-individu yang tidak dikenali yang telah menceroboh Dewan juga membuktikan kepada rakyat Perak kemampuan Umno dan BN untuk melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa sehingga sanggup membelakangkan segala peraturan dan kedaulatan undang-undang.
Penyokong Pakatan Rakyat yang berpakaian serba hitam bagi mengabungi kematian demokrasi dan mengingati 1GelitaMalaysia ditangkap dan disumbat dalam lokap malah solat hajat pun diharamkan.
Terpahat dalam memori rakyat Perak peristiwa "sidang bawah pokok" 3 March lalu di mana Speaker dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dihalang oleh polis atas arahan Umno dan BN memasuki DUN untuk bersidang secara terhormat dan bertamadun tetapi terpaksa bermesyuarat di bawah pokok sena.
Rakyat juga melihat dengan penuh keinsafan bagaimana kuasa polis disalahgunakan oleh Umno dan BN untuk mengugut dan menangkap wakil-wakil rakyat serta penyokong Pakatan Rakyat apabila mereka menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku.
Rakyat juga melihat sikap dwi standar yang diamalkan Umno dan BN dalam perlaksanaan undang-undang.
Majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat diceroboh dan penyokong ditangkap hanya kerana menayankan video perihal kekecohan sidang DUN Perak.
Namun apabila Umno dan BN mencetak 50,000 cakera padat yang menceritakan versi mereka berhubung sidang DUN 7 Mei dan menayangkan kepada umum tidak ada polis yang menceroboh majlis atau sesiapa pun ditangkap.
Ceramah dan perhimpunan Pakatan Rakyat diawasi dengan puluhan anggota polis dan unit simpanan persekutuan (FRU) yang lengkap bersenjata serta puluhan lagi anggota cawangan khas yang memantau setiap kata-kata yang diluahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Kempen puasa sunat dan mogok yang dilancarkan minggu lalu juga tidak lepas daripada tekanan dan kedajalan polis - khemah diarah dibuka, perhimpunan disuraikan, belasan ADUN serta penyokong ditangkap.
Sudah tentu Dr Zambry ingat semua peristiwa yang telah berlaku ini kerana beliau secara langsung dikaitkan dengan semua peristiwa itu.
Rakyat tidak lagi bodoh dan redha untuk diperbodohkan.
Lagi cepat Dr Zambry sedar akan hakikat ini lagi pantas beliau akan memahami mengapa salamnya tidak disambut dan mengapa insiden di Batu 8, Lekir, Manjung berlaku kepada seorang Menteri Besar.
http://www.tvantara.com/v1/newsdetails?news=1316
---------------------------------------------
MB mahkamah, lu pikir lah sendiri! Ini suara hati rakyat. Bukan main-main...

No comments:

Post a Comment

Jika ada kelapangan masa, sila tinggalkan comment konstruktif anda di sini, terima kasih.

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...