Thursday, January 15, 2009

DRAMA MERTUA VS MENANTU: NILAI APA YANG HENDAK DIPAPARKAN?

Untuk makluman, aku bukanlah seorang pengulas filem atau drama profesional. Juga bukanlah seorang kaki drama televisyen yang tegar sehingga sanggup duduk mengadap peti televisyen semata-mata untuk menonton program drama kegemaran...
Sebaliknya, aku hanyalah penggemar drama biasa. Aku hanya menonton drama televisyen jika ada masa lapang atau sambil membuat kerja-kerja rutin seharianku.
Aku sempat beberapa kali terserempak dengan drama bersiri Mertua vs Menantu. Itu pun tidak pernah melihat sehingga habis. Aku menjadi tawar hati untuk menghabiskan drama tersebut kerana aku tidak tahu ke arah mana drama tersebut ingin membawa khalayak penonton. Konflik yang tidak pernah selesai antara menantu dan mertua dan sebaliknya menimbulkan satu persoalan dalam benakku, adakah golongan muda yang belum berumah tangga harus mencontohi konflik tersebut tatkala mereka mendirikan rumah tangga kelak?
Sebelum aku menulis dalam posting ini, aku sempat juga meninjau pandangan dan komen para penonton tentang drama tersebut. Rata-rata memberi pujian dan ada laman yang meletakkan drama tersebut dalam rating yang tinggi. Namun, rata-rata memuji lakonan Erra Fazira. Itu kerana mereka sememangnya meminati lakonan Era Fazira. Bagiku, kualiti lakonan satu bab. Itu aku tidak nafikan, sememangnya kesemua pelakon telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik.
Cuma, satu bab lagi ialah mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak penonton. Aku rasa drama tersebut terlalu 'lama' mengutarakan aspek konflik antara mertua dan menantu. Aku rasa bimbang kepada golongan muda yang menjadi khalayak penonton tersebut akan terpengaruh dengan adegan-adegan keterlaluan yang dipaparkan dalam drama tersebut.
Sepatutnya, seorang ibu mertua mesti ditaati oleh anak menantu kerana seorang ibu mertua seperti ibu kandungnya. Begitu pula seorang ibu mertua semestinya menyayangi anak menantunya seperti anak kandungnya sendiri. Justeru, hubungan yang harmoni akan terjalin dan rumah tangga anaknya aman bahagia.
Mungkin ada yang berpendapat itu adalah realiti sebahagian kehidupan. Persoalannya, kenapa perlu kita mengutarakan cebisan kisah yang negatif itu untuk dibesar-besarkan. Jika perlu sekalipun, carilah aspek-aspek kehidupan yang lain. Bukan soal hubungan antara ibu mertua dan anak menantu. Jangan dihebah-hebahkan soal kebiadapan anak menantu dan kebobrokan akhlak emak mertuanya! Cukuplah filem "Ibu Mertuaku" lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Sarimah yang menyayat hati itu sebagai teladan dan sempadan betapa buruknya sikap seorang ibu mertua terhadap anak menantunya... Cukuplah!

No comments:

Post a Comment

Jika ada kelapangan masa, sila tinggalkan comment konstruktif anda di sini, terima kasih.

KOMEN MINDA TERKINI...

TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN MENGUNJUNGI LAMAN INI...